IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk terus mencari ruang supaya sesi-sesi libat urus rentas parti yang kini menjadi antara pendekatan penting kerajaan negeri, akan diperkasa dari semasa ke semasa.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini telah dibuktikan apabila sesi libat urus anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) pada 19 Ogos lalu, berjaya mengumpul idea-idea bernas bagi merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Beliau turut mencadangkan dalam masa terdekat, Pegawai Kewangan Negeri dapat juga mengadakan sesi libat urus bersama semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan input-input bagi menyediakan Bajet 2022 negeri Perak.

Beliau melahirkan rasa bangga kerana sepanjang perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri yang berakhir hari ini, ADUN-ADUN berbahas secara objektif, sama ada menyentuh hal-hal dasar atau melibatkan isu di kawasan masing-masing.

“Saya juga menghargai dukungan dan penghargaan yang diberikan kepada saya sebagai Menteri Besar oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan kali ini,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Saarani berkata, keharmonian sepanjang persidangan kali ini mencerminkan bahawa wakil rakyat di Perak mampu merintis jalan dalam menyuburkan budaya politik baharu dan menjadi contoh kematangan berpolitik, tanpa mengabaikan tanggungjawab mengukuhkan proses semak dan imbang.

Beliau yakin, semua itu timbul atas kesedaran bahawa rakyat sudah tidak mampu untuk melihat persengketaan dan polemik politik yang sia-sia, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berdepan krisis kesihatan yang menuntut wakil rakyat meletakkan kepentingan rakyat mengatasi garisan politik kepartian.